Berita, Siaran Media

BUDI Diesel: Kadar RM300 sebulan kekalkan bulan ini

Kerajaan MADANI mengambil langkah tegas bagi melindungi rakyat dengan mengekalkan bantuan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pada kadar RM300 sebulan bagi April 2026.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan memaklumkan bantuan tambahan interim RM100 diteruskan, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan bagi kategori BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi kekal sebanyak RM300.

Bantuan akan disalurkan mulai 8 April ini, memanfaatkan kira-kira 340,000 penerima dengan peruntukan sekitar RM102 juta.

“Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan peka dan prihatin terhadap tekanan yang dihadapi oleh rakyat susulan kenaikan harga bahan api global. 

“Langkah ini dilaksanakan oleh Kerajaan bagi memastikan pengguna diesel, khususnya individu serta sektor agri-komoditi, supaya terus menerima sokongan serta melindungi mereka dari terdedah sepenuhnya kepada kenaikan harga bahan api global.

“Sejak diperkenalkan pada Mei 2024, BUDI Diesel telah membantu meringankan kos sara hidup dengan jumlah bantuan tunai mencecah RM1.12 bilion,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian Kewangan pada masa sama menegaskan pendekatan bersasar itu dibuat bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, sambil mengekalkan disiplin fiskal negara dalam keadaan tekanan global yang berterusan.

Selain itu, langkah interim itu, kerajaan juga sedang mempertimbang langkah-langkah jangka sederhana dan panjang bagi memastikan sistem subsidi kekal mampan, telus dan terus memanfaatkan rakyat.

Malah, kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan pasaran tenaga global dan bersedia mengambil langkah tambahan dengan segera bagi memastikan bekalan kekal stabil dan mencukupi.

“Permohonan BUDI Diesel dibuka sepanjang tahun melalui laman sesawang rasmi https://budidiesel.gov.my,” jelas kenyataan tersebut. – MalaysiaMADANI