Malaysia tidak boleh diam membisu membiarkan ketidakadilan dan kezaliman akibat konflik dan perseteruan geopolitik di Asia Barat, tegas Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konflik yang tercetus akibat tindakan Israel bukan sekadar isu jumlah mangsa terkorban atau kemusnahan infrastruktur tetapi menggambarkan kecenderungan bahaya untuk menguasai wilayah tanpa menghiraukan aspek kemanusiaan.
“Dalam suasana dunia yang terus berantakan akibat konflik dan perseteruan geopolitik, kita tidak boleh membiarkan ketidakadilan dan kezaliman mengheret kita untuk bungkam.
“Mangsa paling besar tentunya wanita, kanak-kanak dan masyarakat yang dipaksa hidup dalam ketakutan, kehilangan dan trauma yang berpanjangan,” katanya ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama University Sunway.
Pada forum berkenaan turut menampilkan Profesor Jeffrey Sachs, Presiden UN Sustainable Development Solutions Network (UN SDSN) sebagai panel utama.
Justeru katanya Malaysia mengambil pendirian yang jelas dan berprinsip selain mendesak dihentikan segera keganasan, meredakan ketegangan.
“Selain menghidupkan kembali saluran diplomasi yang berpaksi pada undang-undang antarabangsa dan penghormatan terhadap maruah manusia,” katanya. – MalaysiaMADANI
