Berita

Kukuh kesiapsiagaan hadapi ancaman siber

Malaysia bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan ancaman siber yang semakin kompleks termasuk penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI). 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, satu mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) dianjurkan bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara mendepani ancaman siber.

Beliau berkata, mesyuarat itu meneliti kemajuan penubuhan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi (CSCDC) sebagai entiti berpusat.

Jelas beliau, CSCDC bertindak menyatukan fungsi Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM) dan CyberSecurity Malaysia, sebagaimana telah diluluskan oleh jemaah menteri. 

“Melalui penstrukturan ini, PTPKM akan mempunyai penempatan institusi tetap, manakala fungsi dan sumber CSM dipusatkan di bawah CSCDC yang ditempatkan di Jabatan Perdana Menteri.

“CSCDC masih di bawah kawal selia Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), sementara Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertindak sebagai sayap teknikal serta operasi,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Tambah beliau, mesyuarat itu juga bersetuju dengan cadangan dasar baharu Rang Undang-Undang Jenayah Siber.

Menurut beliau, ia termasuk peruntukan menangani penyalahgunaan AI seperti ‘deepfake’, penyebaran imej intim serta aspek pengekalan data komputer bagi tujuan siasatan.

Kata beliau lagi, dalam iklim geopolitik yang tidak menentu, agenda keselamatan siber negara akan terus diperkasa melalui kerjasama strategik seluruh pemegang taruh demi menjamin keselamatan, kestabilan dan kedaulatan negara. -MalaysiaMADANI