Uncategorized

‘Islam mesti dipandu dengan ilmu, adab dan keseimbangan’

Peranan ulama’ hari ini amat besar sebagai nurani negara dalam membimbing masyarakat dengan penuh hikmah, menimbang realiti semasa dan menjaga kesatuan ummah, tegas Timbalan Perdana Menteri.

Perkara berkenaan ditegaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika demikian ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia, semalam.

“Islam mesti dipandu dengan ilmu, adab dan keseimbangan, bukan emosi atau sentimen sempit.

“Saya turut mengingatkan bahawa Islam dalam kenegaraan mesti menjadi panduan membina dasar dan institusi, bukan alat untuk memecah belah atau memanipulasi perasaan,” katanya.

Beliau turut mengangkat manhaj Fiqh al-Mīzān sebagai pendekatan utama dalam kepimpinan dan wacana awam iaitu menimbang antara maslahat dan mudarat, antara tuntutan akhirat dan realiti dunia.

“Inilah neraca yang perlu memandu keputusan negara agar kestabilan, keadilan dan keharmonian dapat dipelihara.

Pertemuan tersebut yang berlangsung meriah di Pusat Dagangan Dunia (WTC) berjaya menghimpunkan umara’ dan ulama’ dalam satu ruang dialog yang menyatukan amanah kepimpinan dengan hikmah keilmuan demi kebaikan agama, rakyat dan negara.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru para ilmuan untuk terus memainkan peranan memandu, menimbang dan memelihara iaitu memandu fikiran ummah, menimbang setiap keputusan dengan hikmah dan memelihara agama serta kestabilan negara.

Tegas beliau selagi ilmu dipandu dengan amanah dan kuasa ditimbang dengan hikmah, Islam akan terus menjadi rahmat.

Malah,  Malaysia akan kekal sebagai sebuah negara yang stabil, sejahtera dan dihormati. – MalaysiaMADANI