Berita

Jawab semua persoalan, umum lonjakan kejayaan Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menjawab segala persoalan daripada kumpulan ketua pengarang dan wartawan media tempatan serta antarabangsa.

Malah Perdana Menteri juga menjelaskan pertanyaan daripada pengamal meda berhubung rumusan pencapaian Kerajaan MADANI sepanjang tahun ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bertekad meneruskan usaha reformasi sepanjang 2025 termasuk menerusi penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan.

“Selain itu, Kerajaan MADANI juga memberi tumpuan terhadap penyasaran subsidi yang adil tanpa membebankan rakyat serta menutup ruang ketirisan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya. 

Beliau berkata, kejayaan pengukuhan peranan badan penguat kuasa turut membuahkan hasil dengan rampasan dan penalti mencecah RM15.5 bilion.

Selain itu menurut beliau, kemajuan ketara juga berjaya diraih dalam pembangunan Sabah dan Sarawak, termasuk penyelesaian sembilan daripada 13 tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dari sudut ekonomi, beliau berkata, Malaysia mencatat pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM384.4 bilion dan ringgit pula terus menunjukkan pengukuhan sekitar RM4.11 berbanding dolar Amerika.

Tambah beliau lagi, Kerajaan MADANI juga menaikkan gaji penjawat awam dan gaji minimum, manakala usaha menoktah kemiskinan tegar juga hampir mencapai sasaran dengan berbaki hanya 0.09 peratus.

“Di sebalik pencapaian ini, saya akui bahawa masih wujud kelemahan, kekurangan dan terdapat ruang untuk penambahbaikan. 

“Kerajaan MADANI akur dengan pandangan, teguran dan kritikan, malah beriltizam untuk bekerja lebih keras pada tahun hadapan,” ujar beliau.

Menjawab persoalan mengenai rasional pelantikan baharu dalam Kabinet, Perdana Menteri menjelaskan bahawa ia dibuat dengan mengambil kira keperluan menyuntik nafas dan tenaga baharu di beberapa kementerian, termasuk melibatkan lebih ramai tokoh muda bagi menggerakkan agenda reformasi dengan lebih pantas.

“Insya-Allah, Kabinet MADANI akan mempertingkatkan usaha pada tahun mendatang demi memastikan reformasi yang lebih bermakna selari dengan tuntutan rakyat, sambil menentang keras naratif durjana yang menghasut perpecahan, perkauman dan pelampau agama,” kata beliau. -MalaysiaMADANI