Kesemua Kabinet baharu termasuk yang baru dilantik diharap dapat menggalas tanggungjawab dengan baik demi rakyat dan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara.
“Kini tibalah masanya untuk kesemua yang diamanahkan ini menggalas tanggungjawab dengan penuh integriti, kebijaksanaan dan hikmah berteraskan amanah yang luhur, demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara,” katanya.
Semalam Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan menteri baharu serta pertukaran beberapa portfolio susulan kekosongan dalam Kabinet Kerajaan MADANI dan keperluan untuk membuat sedikit penyesuaian.
Hari ini, tujuh menteri termasuk dua yang baharu dilantik mengangkat sumpah jawatan di hadapan yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara.
Istiadat itu bermula dengan lafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia serta majlis penandatanganan dokumen rasmi pelantikan yang disaksikan Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Istiadat diakhiri dengan sesi bergambar barisan menteri serta timbalan menteri yang baharu bersama Sultan Ibrahim sebelum meninggalkan Istana Negara pada 10.45 pagi.- MalaysiaMADANI
