Berita, Siaran Media

Perkemas undang-undang bezakan antara perasuah dan pemberi maklumat – PM

Kerajaan MADANI akan memperkemas kerangka perundangan sedia ada bagi memperjelas perbezaan antara perasuah dan pemberi maklumat.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menyifatkan langkah berkenaan penting bagi memastikan perlindungan diberikan kepada pemberi maklumat yang bertindak dengan niat baik.

“Langkah ini juga bertujuan menutup ruang kepada pihak yang melakukan jenayah daripada berselindung di sebalik status tersebut.

“Usaha ini juga bertujuan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, agar perasuah tidak disalah anggap sebagai pemberi maklumat,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir sesi soal jawab di Dewan Negara.

Tegas beliau prinsip keadilan dan integriti dalam tadbir urus negara akan terus ditegakkan.

Katanya lagi kerajaan terus komited memperkukuhkan sistem tadbir urus yang telus serta memastikan undang-undang tidak manipulasi oleh pihak berkepentingan bagi mengelak tindakan undang-undang. – MalaysiaMADANI