Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menawarkan penggantian Pasport Malaysia Antarabangsa secara percuma untuk mangsa banjir yang hilang atau rosak dokumen tersebut.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya prihatin dengan kesukaran yang dialami mangsa bencana banjir di seluruh negara.
“Mangsa yang pasportnya hilang atau rosak akibat bencana banjir boleh mengemukakan permohonan penggantian pasport tanpa sebarang bayaran di mana-mana Pejabat JIM yang berdekatan.
“Inisiatif itu bertujuan memudahkan urusan mereka yang terjejas dan memastikan keperluan perjalanan serta urusan rasmi dapat diteruskan tanpa sebarang halangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun JIM memaklumkan syarat bagi penggantian pasport percuma ini ialah pasport masih sah dan tidak kurang daripada enam bulan.
“Mereka hanya perlu membawa kad pengenalan dan pasport asal (sekiranya masih ada), menyerahkan salinan laporan polis serta laporan pengesahan bencana banjir daripada pihak bomba atau pihak berkuasa tempatan,” katanya lagi.
JIM kekal komited memberikan perkhidmatan terbaik serta memastikan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.
“Diharapkan inisiatif ini dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir dan membantu mereka kembali mengurus kehidupan harian dengan lebih mudah dan teratur,” ujarnya.
Justeru orang ramai yang berdepan kehilangan pasport itu yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh hadir ke pejabat imigresen berhampiran. – MalaysiaMADANI
