Berita

Capai matlamat utama kukuh hubungan, buka kerjasama lebih luas

Misi singkat Diplomasi MADANI ke Nairobi, Kenya mencapai matlamat dalam memperkukuh hubungan dua hala serta membuka ruang kerjasama lebih luas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, secara keseluruhan misi tersebut berjaya merentasi pelbagai sektor strategik antara Malaysia dan Republik Kenya.

“Terima kasih Presiden Dr William Samoei Ruto dan Kerajaan Republik Kenya atas layanan yang cukup baik kepada saya dan delegasi Malaysia,” kata beliau menerusi laman media sosialnya, setelah selesai lawatan rasmi di Nairobi.

Perdana Menteri turut menzahirkan rasa hormat kepada seluruh pasukan kementerian serta agensi terlibat, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, petugas keselamatan dan pihak media yang telah memastikan kelancaran setiap susunan program.

Terdahulu, Perdana Menteri berkesempatan mengadakan sesi libat urus bersama para pimpinan Masjid Jamia di Nairobi.

Pertemuan itu membuka ruang untuk pihak Diplomasi MADANI berbincang serta bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh pembangunan ummah.

Perdana Menteri berkata, pembangunan ummah bukan sahaja dari segi pendidikan dan dakwah, tetapi juga melalui pengukuhan institusi serta pembinaan masyarakat berakhlak dan berdaya.

“Saya menegaskan komitmen Malaysia untuk terus mengangkat martabat Islam sebagai agama yang menjunjung kesejahteraan, toleransi dan ihsan. 

“Dalam konteks ini, saya menekankan kepentingan pendidikan, dakwah berhemah, dialog antara peradaban serta kerjasama erat dengan komuniti Islam di Kenya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia akan terus berusaha mencetak dan menerbitkan al-Quran dalam pelbagai bahasa untuk diedarkan ke seluruh dunia, agar ia menjadi sumber rujukan yang memperlihatkan keindahan, kesederhanaan serta rahmah yang menjadi inti ajaran Islam. -MalaysiaMADANI