Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di persinggahan pertama misi Diplomasi MADANI di Addis Ababa, Republik Demokratik Persekutuan Ethiopia bagi memulakan lawatan rasmi selama tiga hari.
Perdana Menteri berkata, kunjungan itu merupakan jemputan rakan sejawat, Perdana Menteri, Dr Abiy Ahmed Ali dan ia merupakan lawatan balas susulan kunjungan rasmi ke Malaysia tahun lalu.
Beliau berkata, hubungan baik itu mencerminkan tekad bersama untuk terus memperkukuh hubungan dua hala yang kini memasuki usia 60 tahun.
“Ia merupakan satu hubungan yang dibina berteraskan persahabatan tulen, keyakinan bersama dan semangat saling menghormati,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Menurut beliau, Malaysia melihat Ethiopia sebagai rakan strategik utama di benua Afrika dan komited untuk memperluas serta memperdalam kerjasama dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara.
“Saya yakin lawatan ini akan membuka lembaran baharu yang lebih dinamik, menghasilkan pencapaian yang konkrit serta melonjakkan hubungan Malaysia dan Ethiopia ke tahap yang lebih cemerlang, berdaya saing serta bermakna,” ujar beliau.
Sejurus tiba di Addis Ababa, Perdana Menteri berkata, dia bersama Dr Abiy telah berkunjung ke Muzium Sains Ethiopia, sebuah lokasi mempamerkan sejarah pembangunan sektor teknologi dan AI yang dipacu kerajaan negara itu.
Perdana Menteri kemudiannya berkunjung ke Friendship Park yang turut menempatkan zoo dan arkib sejarah kenegaraan Ethiopia, selain menjadi pusat riadah dan rekreasi.
“Kemesraan yang ditonjolkan sangat dihargai tatkala kita berusaha untuk merapat serta meluaskan peluang serta potensi negara bersama Ethiopia,” katanya. -MalaysiaMADANI
