Orang ramai terutama pengundi di Negeri Di Bawah Bayu diingatkan untuk membuat pilihan tepat bagi menentukan parti manakah yang benar-benar layak memimpin kerajaan negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mengakhiri lawatan kerja ke Sabah, beliau berkesempatan mendekati masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap.
Beliau berkata, orang ramai yang membanjiri Dewan Datuk OKK Sanggau Jalang, Tenom hadir dalam suasana penuh mesra, santai dan harmoni.
“Dalam ucapan, saya menekankan betapa pentingnya rakyat memilih kerajaan yang mampu bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan agar manfaat pembangunan dapat dinikmati bersama,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Menurut beliau, hasilnya sudah jelas yang mana orang Sabah sendiri dapat merasai perubahan sejak Kerajaan MADANI memimpin.
Jelas beliau, perubahan tersebut dicapai melalui pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur di seluruh Negeri Di Bawah Bayu.
Bagi meningkatkan kesalinghubungan di Sabah, kata beliau, antara inisiatif utama adalah program JENDELA yang sangat penting dalam meningkatkan liputan 4G dan 5G.
Beliau berkata, pembinaan menara komunikasi baharu dipergiat, stesen pemancar dinaik taraf dan jalur lebar berasaskan teknologi satelit disediakan untuk kawasan yang memerlukan.
“HARAPAN saya jelas, urang Sabah mesti terus menikmati akses internet yang lebih berkualiti.
“Bukan sahaja untuk memperkukuh sektor pendidikan, tetapi juga bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan demi kesejahteraan bersama,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
