Berita

Beri perhatian serius isu pra-pelaksanaan projek

Penjawat awam terutama barisan kepimpinan tertinggi jabatan diingatkan untuk memberi perhatian serius terhadap isu-isu pra-pelaksanaan sesuatu projek yang akan dibangunkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negara Bilangan 2 Tahun 2025 yang menumpukan perbincangan kepada hala tuju dan penyelarasan projek-projek pembangunan yang melangkaui Rancangan Malaysia Ke-11.

Beliau berkata, perbincangan antaranya memberi tumpuan kepada garis panduan berkaitan perlindungan dan pengalihan utiliti serta kajian awalan ke arah pengoptimuman pembangunan projek.

“Justeru, saya tegaskan agar Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan memberi perhatian serius terhadap isu-isu pra-pelaksanaan projek seperti status tanah mendap atau wakaf, proses pengambilan tanah, hakisan serta jajaran laluan air,” kata beliau menerusi laman media sosialnya. 

Mengulas lanjut, tegas Perdana Menteri, mesej yang disampaikan oleh beliau adalah jelas bahawa kekangan seumpama itu tidak boleh berulang.

Ini kerana jelas beliau, ia hanya membawa kepada pembaziran peruntukan dan menjejaskan manfaat yang sepatutnya dinikmati rakyat.

“Sayugia, semua pihak terlibat perlu mengutamakan penggunaan sumber, produk dan peralatan tempatan.

“Ia bagi mengoptimumkan perbelanjaan pembangunan hatta penjimatan hasil langkah ini wajar disalurkan semula untuk meningkatkan kemudahan asas dan infrastruktur utama rakyat,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI