Berita

Produk agro makanan Malaysia semakin diterima di China, lebih 40 produk berada di pasaran

Kerjasama strategik antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama pemain industri tempatan akan terus diperkukuh bagi memastikan produk Malaysia mampu menembusi pasaran luar dan  berdaya saing di peringkat global, kata Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata demikian ketika meninjau sendiri produk-produk makanan yang dijual di METRO Supermarket cawangan Sha Ping Ba, Chongqing, China.

“Sementara menunggu program rasmi esok hari, Bang Mat sempat meninjau sendiri produk-produk makanan yang dijual di METRO Supermarket cawangan Sha Ping Ba, Chongqing. 

“Tinjauan ini memberi peluang untuk memahami corak permintaan serta citarasa pengguna tempatan di negara dengan populasi melebihi 1.4 billion penduduk di sini,” katanya.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, tinjauan berkenaan  amat penting kerana China merupakan antara pasaran terbesar dunia dan mempunyai potensi besar untuk produk makanan dari Malaysia, khususnya produk berasaskan pertanian, hasil laut, serta makanan segera halal yang semakin mendapat perhatian pengguna China.

Katanya lagi, rakyat China kini sangat mementingkan kualiti, keselamatan makanan, dan pensijilan halal antarabangsa.

Bagaimanapun jelas beliau situasi berkenaan bakal membuka ruang luas kepada produk tempatan untuk menembusi pasaran China, terutamanya dengan kekuatan Malaysia dalam sektor agro-makanan dan standard halal yang diiktiraf di peringkat global.

Terdahulu, Pejabat Penasihat Pertanian Beijing telah melaksanakan Program Taste of Malaysia dengan kolaborasi METRO China melibatkan 120 cawangan METRO di seluruh China, dengan lebih 40 produk Malaysia kini berada di rak jualan METRO di seluruh negara tersebut. – MalaysiaMADANI