Satu strategi mampan telah digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Gas Asli (NGR) bagi memastikan keterjaminan tenaga negara terus terpelihara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, strategi tersebut diyakini dapat menyokong pertumbuhan sosioekonomi negara serta peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.
Beliau berkata, fokus utama kini adalah meningkatkan perkongsian tenaga boleh baharu kepada 35 peratus menjelang tahun 2030.
“Ia termasuk memperluas akses grid terbuka, serta mempergiat pelaburan dalam teknologi hijau dan tenaga baharu,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Terdahulu Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Majlis Tenaga Negara (MTN) Bilangan 2 Tahun 2025 membabitkan NGR yang dibentangkan oleh Kementerian Ekonomi.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, usaha meningkatkan perkongsian tenaga boleh baharu adalah sejajar Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
Tegas beliau, perkara itu penting bagi memperkukuh sistem tenaga negara yang lebih inovatif, berdaya saing dan inklusif, demi menjamin kesejahteraan rakyat serta kelestarian masa depan Malaysia.
Selain itu, beliau berkata, mesyuarat bersama Kementerian Ekonomi turut bersetuju dengan unjuran permintaan dan pembekalan elektrik bagi pusat data berdasarkan penilaian terkini oleh Suruhanjaya Tenaga.
Tambah beliau, mesyuarat juga bersetuju meluluskan pembangunan Platform Perkhidmatan e-Mobiliti (e-Mobility Service Platform) yang akan menyepadukan dan menyelaras operasi stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara.
“Kerajaan MADANI kekal fokus dalam menterjemah aspirasi peralihan tenaga negara untuk menjadikan Malaysia peneraju ekonomi rendah karbon yang mampan dan berdaya tahan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
