Berita

Manfaat RAKAN lapor ancaman perpaduan, keselamatan komuniti

Orang ramai boleh membuat laporan berhubung isu atau ancaman yang boleh menjejaskan perpaduan dan keselamatan komuniti menerusi Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN).

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami berkata, menerusi platform digital seperti RAKAN dan e-Sepakat, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) komited memastikan setiap laporan diterima akan diambil tindakan sewajarnya.

“Semua laporan yang diterima akan dianalisis dan dimanfaatkan bagi memperkukuh keharmonian serta perpaduan rakyat Malaysia,” kata beliau menerusi media sosial rasmi KPN.

Beliau berkata demikian di Parlimen, semasa menjawab persoalan Ahli Parlimen Baling mengenai langkah-langkah KPN memastikan laporan melalui sistem e-Sepakat benar-benar digunakan bagi mencegah konflik perkauman dan meningkatkan keharmonian nasional.

Saraswathy berkata, antara isu yang boleh dilaporkan melalui RAKAN membabitkan khabar angin atau tanda awal ancaman terhadap perpaduan, insiden ketegangan kaum atau agama serta isu perkauman, diskriminasi atau penghinaan agama.

Selain itu menurut beliau, laporan juga boleh dibuat sekiranya melibatkan konflik komuniti yang berisiko menjejaskan keharmonian serta sebarang kejadian yang boleh menyebabkan ketegangan sosial di peringkat komuniti.

Kata beliau, orang awam boleh mengakses platform RAKAN dengan mudah melalui laman web rasmi https://rakan.jpnin.gov.my.

“Pihak kementerian akan terus memperkukuh kerjasama dengan masyarakat bagi memastikan keamanan, keharmonian dan perpaduan negara sentiasa terpelihara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI