Malaysia terus komited terhadap pelaksanaan Pelan Damai Gaza, termasuk memastikan laluan bantuan kemanusiaan tidak dihalang selain berharap agar proses pembinaan semula wilayah berkenaan dapat dilaksanakan segera demi keadilan dan maruah rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, sempena mesyuarat dua hala yang diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di ibu negara, hari ini.
“Malaysia akan terus memimpin dengan prinsip, bekerjasama atas dasar saling hormat.
“Selain memperkukuh perdagangan bebas dan menjunjung keamanan sejagat, selaras dengan semangat Malaysia MADANI,” katanya lagi.
Pada kesempatan sama, kedua-dua pemimpin itu menandatangani Framework Agreement on Reciprocal Trade (ART) dan Memorandum of Understanding on Critical Minerals, sebagai langkah strategik memperkukuh keterjaminan rantaian bekalan serta manfaat bersama antara kedua-dua negara.
Dalam pada itu Perdana Menteri yakin pertemuannya dengan Trump mampu memperkukuh hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak tahun 1957.
Malah, kedua-dua negara bersetuju untuk membuka ruang baharu bagi memperdalam kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga, pendidikan, pertahanan serta teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Anwar pada masa sama menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan Amerika Syarikat dalam memperkukuh hubungan dua hala ke tahap Comprehensive Strategic Partnership, serta dalam menjayakan pelbagai inisiatif serantau termasuk usaha memperkukuh keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.
“Saya mendoakan agar hubungan baik antara Malaysia dan Amerika Syarikat terus diperkukuh demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
“Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Trump atas kesudian berkunjung ke Malaysia dan atas komitmen beliau dalam mempererat persahabatan antara kedua-dua negara,” katanya lagi.
Trump tiba di Malaysia bersempena Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 atas jemputan Anwar selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Pesawat Air Force One yang membawa Trump mendarat di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar 9.54 pagi tadi dan beliau disambut oleh Anwar serta beberapa Menteri Kabinet Kerajaan MADANI serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Ini merupakan lawatan pertama Trump ke rantau Asia Tenggara sejak dipilih sebagai Presiden AS ke-47 pada Januari lepas. – MalaysiaMADANI
