Semangat perpaduan tinggi berjaya ditunjukkan masyarakat berbilang kaum di negara ini apabila rumah ibadat daripada kepelbagaian kepercayaan boleh berada bersebelahan tanpa ada sebarang perbalahan.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami berkata, perkara tersebut berjaya direalisasikan dengan baik apabila masjid, tokong, gereja dan kuil berdiri bersebelahan antara satu sama lain.
Selain itu beliau berkata, orang ramai boleh menikmati kepelbagaian makanan tradisi daripada pelbagai kaum, malah berkongsi meraikan perayaan yang berbeza dalam suasana muhibah.
“Inilah wajah unik Malaysia yang menyaksikan bahawa perpaduan tidak bermaksud semua mesti sama, tetapi kita menerima perbezaan sebagai kekuatan yang menyatukan kita,” kata beliau menerusi laman media sosial Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Menurut beliau, pihak kementerian akan sentiasa komited untuk menerajui pelbagai usaha yang dilihat berupaya memupuk nilai kebersamaan dalam masyarakat Malaysia.
Jelas beliau, agenda tersebut diyakini dapat dilaksanakan melalui program pendidikan perpaduan di sekolah-sekolah, aktiviti interaksi komuniti serta dialog antara agama dan kaum.
“Kita berharap agar generasi muda Malaysia akan lebih memahami dan menghargai kepelbagaian yang ada,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI