Berita, Siaran Media

Anwar persembah dokumen cadangan Belanjawan 2026 kepada Yang di-Pertuan Agong

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempersembahkan dokumen cadangan Belanjawan 2026 kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini.

Dokumen belanjawan itu dipersembahkan di Istana Bukit Tunku, di sini hari ini.

“Alhamdulillah, pagi tadi saya telah mempersembahkan dokumen cadangan Belanjawan 2026 kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menzahirkan keyakinan bahawa pembentangan belanjawan kali ini akan memperkukuh ekonomi rakyat serta memastikan kemakmuran dikongsi secara adil dan saksama.

Semalam, ketika memberikan taklimat berhubung Belanjawan 2026 kepada media di Putrajaya Anwar berkata, pembentangan Belanjawan Keempat kerajaan MADANI itu disifatkan sebagai usaha berterusan bagi memperkukuh ekonomi rakyat serta memacu pertumbuhan negara.

“Insya-Allah, belanjawan kali ini adalah satu ikhtiar untuk memastikan kemakmuran dapat dirasai secara adil dan saksama oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di laman Parlimen, Anwar yang juga menteri Kewangan dijadual membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat pada 4 petang esok.

Rang undang-undang itu akan dibahaskan Ahli-ahli Parlimen selama lapan hari di Peringkat Dasar sebelum sesi penggulungan oleh kementerian pada 29 Oktober hingga 4 November, diikuti perbahasan di Peringkat Jawatankuasa dari 5 hingga 27 Nov untuk kelulusan Dewan Rakyat. – MalaysiaMADANI