Berita

Tukar MyKad percuma di semua JPN sehingga 7 Oktober depan

Pemilik MyKad yang mengalami masalah cip rosak kini boleh memperbaharui di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara sehingga 7 Oktober depan.

Perkara itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai persiapan  menghadapi pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 melalui inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95).

“Penawaran penggantian cip MyKad itu boleh dilakukan secara percuma di seluruh negara sebagai persiapan  menghadapi pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 melalui inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95).

“Langkah itu bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada menerima manfaat subsidi akibat kegagalan cip MyKad ketika melakukan pengesahan di stesen minyak.

“Kerajaan prihatin dan akan menanggung sepenuhnya kos penggantian dalam tempoh ini, supaya akses rakyat kepada subsidi BUDI95 tidak akan terjejas hanya kerana isu teknikal pada MyKad,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan kerajaan dijangka membelanjakan RM714,660 bagi inisiatif penggantian percuma MyKad itu termasuk kos berkaitan.

Malah, berdasarkan rekod JPN mulai Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad di bawah kategori cip atau kad rosak telah diterima.

Justeru beliau menggesa semua individu memastikan kad pengenalan masing-masing berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada urusan rasmi termasuk akses bantuan kerajaan.

Terdahulu beliau mengambil kesempatan menjenguk operasi kaunter di JPN, Putrajaya susulan pengumuman berkenaan penukaran cip MyKad rosak secara percuma sehingga 7 Oktober 2025.

Sambil meninjau, beliau sempat juga bertanya khabar dengan orang ramai yang hadir mengambil manfaat menggantikan Mykad baharu dan rata-rata berkongsi pengalaman yang positif, lancar, pantas, dan tidak perlu menunggu lama.

“Saya nak ingatkan sekali lagi, kalau ada masalah dengan cip MyKad anda, inilah peluang terbaik untuk buat penukaran secara percuma. Jadi bila subsidi bersasar bermula 30 September nanti, semuanya berjalan lancar tanpa sebarang halangan,” katanya. – MalaysiaMADANI