Berita

RM10 juta bantu sekolah autistik swasta, komitmen MADANI perkasa pendidikan inklusif

Kementerian Pendidikan (KPM)  memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi membantu sekolah autistik swasta yang berdaftar dengan kementerian itu selaras dengan usaha kerajaan memperkukuhkan pendidikan inklusif di negara ini.

KPM dalam kenyataan memaklumkan, peruntukan itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap aspek kebajikan dan pendidikan anak-anak berkeperluan khas di samping membantu sekolah autistik swasta menambah baik kemudahan pembelajaran.

“Komitmen ini akan diteruskan menerusi Belanjawan 2026 yang akan datang,” katanya.

Menterinya, Fadhlina Sidek menegaskan kerajaan MADANI akan memberi tumpuan khusus kepada pendidikan anak-anak berkeperluan khas, termasuk menyediakan akses pembelajaran terbaik kepada golongan berkenaan.

Pada majlis berkenaan sebanyak 12 buah sekolah autistik swasta dari seluruh negara menerima bantuan berkenaan.

KPM pada masa sama berkata, pihaknya akan berusaha menyediakan akses pendidikan terbaik untuk anak-anak berkeperluan khas. 

Usaha berkenaan kata beliau dibuat menerusi saringan awal, melaksanakan program pendidikan yang inklusif, pembangunan infrastruktur dan sokongan-sokongan lain bagi meringankan beban kewangan ibu bapa.

“Tekad KPM adalah untuk melakukan yang terbaik demi anak-anak ini!,” katanya. – MalaysiaMADANI