Sesi Libat Urus Belanjawan 2026 merupakan mukadimah penting kepada perjalanan negara menuju pembentangan Belanjawan MADANI Keempat pada Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bertemakan ‘Memacu Ekonomi MADANI : Memperkasa Rakyat’, Belanjawan 2026 merupakan yang pertama di bawah pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Justeru itu beliau berkata, Kerajaan MADANI mengambil pendekatan yang menyeluruh dan inklusif agar limpahan manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat, khususnya golongan rentan dan mereka yang memerlukan.
“Acap kali saya tegaskan, setinggi manapun kita menggapai langit, ia tidak akan bermakna sekiranya kita tidak berpijak pada akar bumi dan mengutamakan maslahat rakyat terbanyak,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Terdahulu beliau menghadiri Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 bersama Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan yang diadakan di Putrajaya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang hadir serta mengemukakan pandangan.
Kata beliau, cadangan yang konstruktif diberikan pada majlis itu dilihat penting demi memperkukuh asas ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan rakyat.
“Insya-Allah, meskipun kedudukan kewangan negara masih dalam fasa pemulihan, Kerajaan MADANI akan terus meneliti setiap saranan yang dikemukakan dengan penuh tanggungjawab dan keprihatinan,” menurut beliau.-MalaysiaMADANI