Perdana Menteri menyifatkan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Kemboja sebagai pertemuan penuh makna kerana mencapai kesepakatan untuk meneruskan dialog dan mengekalkan gencatan senjata Thailand-Kemboja.
Perkara itu dinyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima kunjungan Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narphanit bersama delegasi ke Perdana Putra, hari ini.
Dalam pertemuan itu, mereka menghabiskan masa kira-kira 30 minit untuk berbincang pelbagai perkara selain turut menyentuh cadangan penempatan pasukan ASEAN Observer Team (AOT) bagi membantu usaha pemantauan, bantuan kemanusiaan serta pengurusan perubatan di kawasan sempadan.
“Saya menghargai keyakinan yang diberikan oleh Thailand dan Kemboja kepada Malaysia untuk terus menerajui rundingan damai dan memantau situasi di sempadan, khususnya melalui peranan penting Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
“Pertemuan ini amat bermakna kerana kami mencapai kesepakatan penting untuk meneruskan dialog dan mengekalkan gencatan senjata di sempadan Thailand–Kemboja yang bermula sejak 28 Julai lalu.
“Ia mencerminkan iltizam bersama untuk menjunjung keamanan dan kestabilan serantau yang amat mustahak dalam landskap geopolitik hari ini.,”katanya.
Anwar pada masa sama berkata, pihaknya menghargai keyakinan yang diberikan oleh Thailand dan Kemboja kepada Malaysia untuk terus menerajui rundingan damai dan memantau situasi di sempadan, khususnya melalui peranan penting Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
“Alhamdulillah, kedua-dua negara turut mencapai beberapa persetujuan penting, termasuk komitmen untuk mematuhi sepenuhnya gencatan senjata tanpa sebarang bentuk serangan, tidak menambah kekuatan atau mengubah penempatan tentera, mengelak tindakan provokatif, serta menjamin perlindungan terhadap orang awam dan infrastruktur awam,” katanya.
Beliau menambah Malaysia akan terus berusaha menyokong proses damai ini dan yakin keamanan boleh dicapai.
Insya-Allah, saya dan seluruh pasukan Malaysia akan terus berusaha menyokong proses damai ini dan keyakinan keamanan yang berkekalan hanya boleh dicapai melalui dialog, persahabatan dan keikhlasan. – MalaysiaMADANI