Pendidikan dan latihan kemahiran tidak wajar dipandang rendah, sebaliknya ia merupakan satu bentuk pendidikan masa depan yang mampu mengangkat potensi anak muda ke tahap lebih tinggi.
Perkara itu ditegaskan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof yang mahu generasi muda terus maju dan mencipta inovasi bermanfaat kepada negara.
“Ia akan membuktikan bahawa golongan berkemahiran adalah tulang belakang pembangunan negara.
“Pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) bukan sekadar alternatif, tetapi satu laluan utama ke arah masa depan yang lebih mampan dan progresif,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja ke Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kampus Kota Kinabalu, Sabah pada Isnin.
Dalam lawatan tersebut, turut diadakan majlis simbolik penyerahan sumbangan peralatan bernilai RM360,000 oleh Syarikat Access Electrical kepada ADTEC JTM Kampus Kota Kinabalu.
Sumbangan ini merupakan tanda sokongan industri kepada pembangunan kemahiran dan pengukuhan fasiliti latihan, sekali gus memberi nilai tambah kepada pengalaman pembelajaran pelajar di kampus tersebut.
KESUMA akan terus menyokong usaha memperkasa pendidikan kemahiran sebagai pemacu utama dalam melahirkan tenaga kerja masa depan yang kompeten, inovatif dan bersedia menempuh cabaran global. -MalaysiaMADANI