Perdagangan Malaysia bagi separuh pertama 2025 sangat menggalakkan, sebanyak RM1.465 trilion dengan Selangor terus menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah perdagangan negara.
Perkara itu dinyatakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika Mesyuarat Jawatankuasa bersama Penyelarasan Industri (JBI) Selangor.
“Selangor mencatat pertumbuhan sebanyak 10.2 peratus sepanjang tempoh januari hingga Jun tahun ini, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai nadi utama ekonomi negara.
“Prestasi pelaburan di Selangor juga amat memberangsangkan dan bagi tempoh 2019 hingga Mac 2025, sebanyak 1,785 projek bernilai RM96.98 bilion telah diluluskan di Selangor, yang dijangka mewujudkan 108,223 peluang pekerjaan baharu,” katanya.
Tengku Zafrul menambah MITI akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan kerajaan negeri Selangor untuk membina ekonomi mampan dan berdaya saing.
“Saya telah memberi komitmen kepada Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor, bahawa MITI akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor untuk membina ekonomi yang mapan dan berdaya saing, selain menjadikan Malaysia destinasi pelaburan utama,” katanya. – MalaysiaMADANI