Biarpun pertemuan ringkas, namun ia satu yang penuh makna dan padat dengan pengisian bagi mengukuhkan hubungan strategik antara Malaysia dan India.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari India, Narendra Modi, semasa Sidang Kemuncak BRICS Ke-17.
Beliau berkata, Malaysia meneliti potensi besar untuk memperluas kerjasama strategik dua hala dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, teknologi digital dan pertahanan.
“Saya turut mengalu-alukan minat syarikat-syarikat India untuk melabur dalam sektor-sektor masa hadapan di Malaysia seperti ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu dan industri aeroangkasa.
“Kami juga komited untuk terus memperkukuh hubungan antara rakyat melalui kerjasama dalam bidang kebudayaan, pelancongan dan pendidikan termasuk cadangan penubuhan kampus Institut Teknologi India (IIT) di Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Kata beliau, kedua-dua pihak turut menegaskan pentingnya memastikan keamanan dan kestabilan serantau.
Selain itu menurut beliau, Malaysia dengan tegas menyuarakan sokongan terhadap penyelesaian adil dan aman bagi isu-isu antarabangsa seperti Palestin dan Jammu-Kashmir.
“Malaysia menyambut baik usaha memperkukuh hubungan ASEAN dan India menjelang Sidang Kemuncak ASEAN-India pada Oktober ini, selaras dengan semangat kerjasama yang saling menguntungkan.
“Semoga hubungan erat Malaysia dan India terus berkembang demi manfaat dan kesejahteraan bersama rakyat kedua-dua negara,” kata beliau. -MalaysiaMADANI