Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memulakan lawatan di ibu negara Itali dengan mengadakan mesyuarat meja bulat bersama peneraju industri utama negara itu.
Dalam lawatan tiga hari ini beliau dijangka bertemu peneraju industri daripada 36 syarikat Itali, termasuk syarikat multinasional (MNC) seperti Leonardo SpA, STMicroelectronics dan Ferrero.
Memetik Bernama, mesyuarat itu akan berlangsung semasa sesi persidangan Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia-Itali, program anjuran bersama kerajaan Malaysia dan Itali.
Beliau kini mengadakan satu siri lawatan ke Itali, Perancis dan Brazil sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan mempromosikan kerjasama ekonomi pada peringkat global.
Dalam lawatan berkenaan, Anwar juga akan bertemu Antonio Tajani, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Itali semasa mesyuarat meja bulat itu.
Malah, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Imam Yahya Pallavicini, Naib Presiden Comunita Religiosa Islamica Italiana (COREIS) dan Abdellah Redouane, Setiausaha Agung Pusat Kebudayaan Islam Itali dan Masjid Rom.
Itali merupakan ekonomi ketiga terbesar dalam Kesatuan Eropah (EU) dan kelapan terbesar di dunia mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Malaysia dan Itali telah menjalin hubungan diplomatik yang panjang dalam pelbagai bidang, disokong oleh hubungan ekonomi yang kukuh, perdagangan dan pelaburan yang meningkat serta kerjasama antara rakyat. – MalaysiaMADANI