Berita

 Syarikat pelaburan Bumiputera perlu kukuhkan daya saing – PM

Syarikat pelaburan bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera digesa untuk terus memperkukuhkan daya saing ekonomi domestik yang boleh menjamin pulangan mampan, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, beliau menegaskan keperluan untuk terus memperkukuhkan daya saing ekonomi domestik serta menjamin pulangan mampan kepada pemegang unit amanah.

“Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) juga perlu menggandakan usaha meningkatkan tahap celik pelaburan dalam kalangan masyarakat, khususnya bumiputera,” katanya.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera meneliti prestasi semasa syarikat-syarikat bawahnya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) pula harus komited dalam usaha memperkasakan usahawan bumiputera melalui akses kepada pembiayaan serta sokongan peningkatan kapasiti dan keupayaan perniagaan.

Katanya semua agensi dan syarikat berkaitan kerajaan yang memegang mandat pembangunan bumiputera.

“Kita mesti terus menjadi pemacu dasar serta pelaksana utama inisiatif kerajaan, khususnya menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35) yang telah dilancarkan,” katanya. – MalaysiaMADANI