Berita, Sidang Kemuncak ASEAN

Malaysia hargai komitmen China kukuhkan kerjasama serantau

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 menghargai komitmen China dalam memperkukuhkan kerjasama serantau dan hubungan dua hala terutama dalam menghadapi cabaran global dan perubahan geopolitik.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan pertemuan dengan Premier China Li Qiang pada Sidang kemuncak ASEAN-GCC-China, hari ini.

Tegas beliau, sinergi antara kedua negara penting untuk dipertingkatkan.

“Khususnya dalam bidang ekonomi, teknologi, projek infrastruktur dan pengangkutan seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Selain itu menangani pertikaian di Laut China Selatan, mengemaskini perkembangan perjanjian Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA), industri halal dan perdagangan,” katanya.

Anwar menambah Sidang Kemuncak ASEAN 2025 mencerminkan usaha Malaysia dalam memimpin benua ini dengan matlamat memperkukuh kesepaduan, memacu kerjasama ekonomi dan menangani isu serantau secara diplomatik dan pragmatik

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dianjurkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, bertemakan Keterangkuman dan Kemampanan, menghimpunkan pemimpin negara anggota untuk membincangkan isu serantau serta merangka hala tuju blok itu pada masa depan. -MalaysiaMADANI