Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled mempengerusikan Sesi Pemukiman Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang menghimpunkan menteri pertahanan dan pegawai kanan dari kesemua 10 negara anggota ASEAN, serta Menteri Pertahanan Timor-Leste, yang hadir sebagai Pemerhati ASEAN.
Pemukiman yang berlangsung di Batu Ferringhi itu menjadi platform pertama bagi Menteri Pertahanan Indonesia, Sjafrie Sjamsoeddin dan Menteri Pertahanan Laos, Khamliang Outhakaysone bersama rakan-rakan sejawat mengenai cabaran serantau.
Mohd Khaled yang dipetik Bernama berkata, Malaysia akan mengemukakan inti pati utama dengan tumpuan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber dalam sektor pertahanan, pengukuhan keselamatan maritim di rantau ASEAN.
Selain itu penumpuan juga akan terarah kepada penubuhan pasukan Bantuan kemanusiaan dan bencana dalam kalangan negara ASEAN.
Katanya terdapat keperluan mendesak untuk ASEAN menilai jurang persefahaman dan pengadaptasian AI bagi menjamin keselamatan dan pertahanan serantau pada masa depan.
Malah, Malaysia juga akan mencadangkan agar ASEAN memperhebatkan kerjasama dalam pembangunan industri pertahanan tempatan bagi memajukan rantaian pembekalan pertahanan di rantau ini serta mengetengahkan ancaman daripada pelaku bukan negara dan biosekuriti yang semakin berkembang.
Kesemua cadangan berkenaan akan dibawa Malaysia pada Pemukiman ADMM dan ke Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN pada November depan untuk diperhalusi semua negara anggota.
Terdahulu, Mohamed Khaled mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Brunei, Pehin Datu Lailaraja Mej Jen Datuk Paduka Seri Awang Halbi Mohd Yussof dan Costa Gornes, Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN, Datuk Astanah Abdul Aziz. – MalaysiaMADANI