Berita

KPWKM perkukuh profesionalisme dan latihan penjagaan warga emas

Kerajaan akan terus memperkasa dan perluaskan penyediaan latihan penjagaan warga emas di seluruh negara bagi meningkatkan kemahiran dan profesionalisme penjaga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, walaupun sehingga kini tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan pemilikan sijil profesional tertentu bagi penjaga warga emas, usaha meningkatkan tahap kemahiran dalam bidang ini tetap menjadi keutamaan.

“Institut Sosial Malaysia (ISM) di bawah kementerian ini memainkan peranan penting dalam menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 bagi bidang Operasi Pusat Jagaan Orang Tua.

“Bergerak ke hadapan, ISM merancang untuk menambah bidang SKM ke Tahap 4, iaitu peringkat diploma bagi Pentadbiran Pusat Jagaan Orang Tua, bagi melahirkan penjaga atau pengasuh yang lebih berkelayakan,”katanya.

Beliau pada masa sama memaklumkan,  kursus ini juga terbuka kepada penjawat awam, pengusaha pusat jagaan, badan bukan kerajaan (NGO), serta sukarelawan.

Bagaimanapun katanya kurikulum kursus ini dibangunkan dan diselaraskan dengan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) bagi memastikan kualiti dan piawaian latihan yang terbaik.

“Pada tahun lalu sahaja iaitu tahun 2024, sebanyak 12 siri kursus telah dilaksanakan dengan penyertaan seramai 385 peserta.

“Manakala pada tahun ini, kita menyasarkan untuk lebih 400 orang lagi peserta untuk menerima dan menamatkan kursus ini. – MalaysiaMADANI