Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui Malaysia dan Indonesia mempunyai sejarah, bahasa dan budaya yang sangat dekat, harus dimanfaatkan untuk melonjakkan keupayaan kedua-dua negara.
Justeru katanya, persahabatan dan kerjasama erat antara kedua-dua negara perlu diperluas dan dipertingkatkan sama ada terkait ekonomi, perdagangan, pelaburan, pendidikan, penyelidikan, teknologi makanan, industri hiliran, tenaga, pertahanan dan seumpamanya.
“Ini termasuklah membabitkan kerjasama PETRONAS DAN PERTAMINA, dua syarikat gergasi yang boleh menyelas kesepakatan dalam penerokaan dan bidang perniagaan baharu.,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto sempena lawatan ke Malaysia di KLCC, semalam.
Dalam pertemuan Anwar juga berkesempatan membawa Presiden Prabowo berjalan merentasi jambatan ikonik di ketinggian 170 meter yang menghubungkan dua Menara Berkembar PETRONAS.
Pertemuan tersebut tegas Anwar menjadi jambatan yang memperkukuh persahabatan Malaysia dan Indonesia, dua negara serumpun dan sejiwa.
Katanya lagi, pertemuan antara delegasi Malaysia dan Indonesia juga mencapai persefahaman untuk merungkai isu tertunggak seperti sempadan dan tenaga kerja dalam semangat persahabatan.
Beliau pada masa sama menyifatkan prabowo sebagai teman setia yang sentiasa mengambil berat dalam tempoh duka lara.
“Bapak Prabowo adalah antara teman setia yang sentiasa mengambil berat sewaktu tempoh duka lara saya yang panjang dan berliku.
Umpama petikan puisi Chairil Anwar, “binatang jalang dari kumpulannya terbuang,” namun masih ada sahabat yang setia,” katanya. – MalaysiaMADANI