Berita

Pelajar yang pernah sertai kadet sekolah diberi keutamaan ke PLKN 3.0

Perdana Menteri memutuskan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang akan diselaraskan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pertahanan akan diutamakan kepada pelajar-pelajar yang pernah menyertai aktiviti kadet sekolah.

Perkara berkenaan dinyatakan datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Tatakelola Dewan Kenegaraan.

“Antara yang dibentangkan adalah status pelaksanaan program PLKN 3.0 yang akan bermula tahun 2025.

“Saya menekankan mengenai kepentingan pelaksanaan program ini dilaksana dengan teliti serta menambah baik pendekatan bersesuaian dengan peredaran keadaan semasa,” katanya.

Beliau menambah pelaksanaan PLKN dilihat penting kerana mampu melahirkan generasi anak muda Malaysia yang mempunyai daya tahan yang tinggi, cekal menopang rintangan kehidupan.

Serta mampu menyumbang kepada negara selaku warganegara Malaysia yang bertanggungjawab.Katanya ia juga terkait dengan peranan setiap rakyat dalam membina negara bangsa.

“Ia adalah mustahak usaha menyeluruh digembleng dalam memperkukuh jati diri, kekuatan iltizam bersama memajukan negara dan kesediaan untuk mempertahankan tanah air tercinta,” katanya. – MalaysiaMADANI