Berita

Malaysia kekal teguh bersama Palestin

Malaysia teguh dalam solidariti  dan komitmen terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri serta membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Pendirian berkenaan dinyatakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Majlis Makan Malam anjuran Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali sebagai penghormatan kepada Penasihat Agama kepada Presiden Palestin merangkap Ketua Hakim Mahkamah Syariah Palestin Dr Mahmoud Sedqi Abdalrahman Alhabbash.

“Saya turut mengambil kesempatan untuk terus menzahirkan sokongan Malaysia yang tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin yang selama ini menghadapi pelbagai bentuk penindasan dan kezaliman.

Malaysia kekal teguh dalam solidariti dan komitmen terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri serta membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya,” katanya.

Ahmad Zahid pada masa sama berharap hubungan erat antara Malaysia dan Palestin terus kukuh dan usaha mencapai keamanan dan keadilan dipermudahkan.  -MalaysiaMADANI