Berita

Salah guna PLS, JIM tahan warga asing bekerja dan jalankan aktiviti perniagaan 

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya melaksanakan satu siri operasi penguatkuasaan yang mensasarkan kawasan tumpuan warga asing di sekitar Sepang, Selangor. 

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dilaksanakan itu bukan sahaja mensasarkan premis perniagaan disyaki milik warga asing, tetapi kesalahan-kesalahan yang berkaitan penyalahgunaan pas kemasukan oleh warga asing. 

Beliau berkata, operasi yang bermula jam 10.20 pagi itu melibatkan pemeriksaan terhadap enam buah premis perniagaan yang menjalankan aktiviti kedai runcit dan pasar raya mini. 

“Hasil pemeriksaan, seramai 13 warganegara asing terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita warganegara Indonesia serta tiga lelaki warganegara Bangladesh disyaki menjalankan aktiviti perniagaan dan menyalahguna Pas Lawatan Sosial (PLS) telah ditahan kerana bekerja di premis-premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, modus operandi kebanyakan perniagaan tersebut adalah disyaki menggunakan lesen perniagaan yang didaftarkan atas nama warganegara Malaysia, tetapi dioperasi sepenuhnya oleh warga asing termasuk pembayaran dalam talian menggunakan kod QR ke akaun bank pemilik disyaki warga asing. 

Kata beliau, sebahagian premis juga didapati menjual produk dan barangan yang khusus untuk pelanggan warga asing khususnya warga Bangladesh. 

Menurut beliau, kesemua suspek telah ditahan di Depot Imigresen Putrajaya mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. 

“Pihak jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” ujar beliau. -MalaysiaMADANI