Berita

Tidak benar dakwaan tangguh kemukakan hasil siasatan KP SPRM

Kerajaan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan agensi berita, Bloomberg pada 30 Mac 2026 berkaitan tuduhan Perdana Menteri meminta menangguhkan pendedahan hasil siasatan ke atas Tan Sri Azam Baki.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perkara tersebut adalah tidak benar apabila mengaitkan Perdana Menteri meminta jawatankuasa khas menangguhkan hasil siasatan pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya (KP) SPRM tersebut. 

Beliau berkata, selaras dengan pembentangan jawatankuasa siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac 2026, prosiding membabitkan kes itu telah dimulakan.

“Ia telah dijalankan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatetib) 1993,” kata beliau menerusi satu kenyataan rasmi yang dikongsikan di laman media sosialnya.

Menurut beliau lagi, prosiding tersebut mempunyai proses dan tatacara yang perlu dipatuhi sepenuhnya. 

Jelas beliau, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada pihak umum.

Tegas beliau, susulan tindakan daripada agensi berita terlibat, kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap Bloomberg terkait dengan dakwaan yang berkenaan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI