Berita, Siaran Media

‘Pengurusan krisis Malaysia raih pengiktirafan global’ – Zulkifli

Malaysia terus menunjukkan keupayaan kukuh dalam menangani kesan konflik Asia Barat apabila pendekatan yang dilakukan mendapat pujian pemimpin-pemimpin antarabangsa.

Pengiktirafan tersebut didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, susulan maklum balas positif yang diterima ketika lawatan rasmi ke luar negara baru-baru ini.

Katanya, penilaian tersebut turut disokong laporan badan antarabangsa seperti JPMorgan Chase dan Milken Institute yang turut mengiktiraf keupayaan Malaysia mengurus kesan krisis global dengan baik.

“Alhamdulillah, dalam situasi mencabar ini, bekalan makanan asas seperti ayam, telur, beras, minyak masak dan tepung masih mencukupi.

“Malah, ketika ini berlaku lambakan sayur di pasaran yang menunjukkan rantaian bekalan negara kekal stabil,” katanya.

Selain itu kestabilan itu turut dapat dilihat melalui aktiviti harian rakyat yang berjalan seperti biasa termasuk penganjuran rumah terbuka Aidilfitri di seluruh negara serta keadaan jalan raya yang terus sesak dengan kenderaan.

“Bekalan bahan api seperti petrol, diesel dan gas juga kekal mencukupi, sekali gus memastikan kelancaran pergerakan serta aktiviti ekonomi rakyat,” katanya. 

Kerajaan buat masa ini memberi jaminan untuk terus komited menyalurkan subsidi berskala besar bagi menjaga kebajikan rakyat.

“Kerajaan akan terus memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara walaupun berdepan ketidaktentuan global,” katanya.

Pada masa sama beliau menyeru semua pihak untuk mengamalkan gaya hidup berhemah dan berjimat cermat dalam penggunaan tenaga, selari dengan tuntutan Islam yang menekankan kesederhanaan serta menghindari pembaziran. – MalaysiaMADANI