Berita

Laksana pendekatan lebih strategik, daripada Bandar Pintar kepada Bandar AI

Malaysia berada pada titik penting untuk beralih daripada pembangunan Bandar Pintar kepada pendekatan yang lebih strategik melalui pembangunan Bandar AI.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan perkara tersebut dijadikan sebagai asas kepada aspirasi Malaysia menjadi sebuah Negara AI.

Beliau berkata, proses peralihan tersebut bukan sekadar penerapan teknologi baharu, tetapi menuntut transformasi menyeluruh.

“Ia melibatkan dalam cara kita merancang, mentadbir dan mengurus bandar agar lebih cekap, berdaya tahan serta berpaksikan data,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Menurut beliau, usaha itu memerlukan ekosistem yang kukuh, merangkumi tadbir urus AI serta data yang selamat, selain memerlukan infrastruktur digital berkapasiti tinggi.

Jelas beliau, proses peralihan itu juga membabitkan pembangunan bakat tempatan serta kerangka dasar dan perundangan yang menyokong inovasi secara bertanggungjawab.

Kata beliau, mesyuarat turut bersetuju agar Kementerian Digital bertindak sebagai penyelaras utama dengan kerjasama rapat daripada pihak kementerian dan agensi berkaitan.

Sementara itu menurut beliau, kerajaan akan terus memperkukuh sinergi dirangka bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan dan berimpak tinggi.

“Semua ini demi manfaat menyeluruh kepada rakyat serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai Negara AI yang berdaya saing di peringkat global,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI