Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil langkah proaktif dengan meneliti pelbagai senario susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran, bagi memastikan kesiapsiagaan negara sentiasa berada pada tahap optimum.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penilaian itu merangkumi aspek keselamatan dalam negara, kawalan sempadan, kestabilan ekonomi serta keupayaan agensi penguatkuasaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
“Pagi ini saya duduk mempengerusikan mesyuarat bersama pengurusan KDN dan agensi di bawah KDN dalam Mesyuarat Strategik Kesan Konflik AS-Iran bagi meneliti perkembangan konflik ini yang semakin mendapat perhatian dunia,” katanya
Tegas beliau keutamaan kementerian adalah memastikan keselamatan negara terus terpelihara.
“Keutamaan kita jelas, iaitu memastikan keselamatan negara terus terpelihara, dan rakyat Malaysia dilindungi daripada sebarang ketidaktentuan luar,” katanya.
Beliau menjelaskan perkembangan konflik itu secara tidak langsung memberi kesan kepada keadaan global khususnya melibatkan rantaian bekalan tenaga dan ketidaktentuan ekonomi antarabangsa yang turut dirasai oleh banyak negara, termasuk Malaysia.
“Setiap hala tuju yang digariskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diterjemahkan melalui pendekatan strategik dan berpandangan jauh agar negara sentiasa bersedia menghadapi sebarang perkembangan global,” katanya.
Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan mahu semua pihak tidak mengambil enteng impak konflik yang berlarutan di Asia Barat. – MalaysiaMADANI
