Berita, Siaran Media

Kerajaan teliti semula kuota subsidi bahan api nelayan

Kementerian Pertanian Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang meneliti cadangan penambahbaikan kuota subsidi diesel kepada nelayan berikutan kebimbangan yang disuarakan kumpulan berkenaan berkaitan had 50 liter sehari bagi vesel Zon A yang dilakukan secara berperingkat.

LKIM dalam kenyataan memaklumkan, kerajaan buat masa ini memahami cabaran nelayan khususnya berkaitan peningkatan kos operasi.

“Skim subsidi diesel dan petrol yang diperkenalkan sejak 2006 bertujuan membantu mengurangkan sebahagian kos operasi penangkapan ikan, namun bukan untuk menampung keseluruhan kos tersebut.

“Penetapan kuota juga dibuat dengan mengambil kira aspek kawalan, ketelusan dan keupayaan fiskal kerajaan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara mampan dan berkesan.

“Pada masa sama, kerajaan mengambil maklum perkembangan semasa industri perikanan termasuk perubahan teknologi vesel serta peningkatan penggunaan kuasa enjin yang memberi kesan kepada penggunaan bahan api.

Justeru, sebarang cadangan untuk menambah baik kadar atau mekanisme subsidi akan diteliti secara menyeluruh dan berperingkat agar selari dengan keperluan semasa industri serta kemampuan kewangan negara,” katanya.

LKIM pada masa sama menggesa nelayan dan rakyat  memahami cabaran global ketika ini, termasuk krisis tenaga dunia yang memberi kesan langsung kepada harga bahan api dan kos operasi.

Kerajaan bagaimanapun komited untuk terus mencari keseimbangan terbaik antara membantu golongan nelayan dan memastikan kestabilan kewangan negara kekal terpelihara. – MalaysiaMADANI