Penantian rakyat Terengganu untuk melihat pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu (KMT) sejak 2009 akhirnya dizahirkan pada tahun ini oleh Kerajaan MADANI.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi lawatan kerja seharinya ke Terengganu mempunyai misi besar untuk memastikan setiap agenda pembangunan benar-benar menyentuh keperluan rakyat.
Beliau berkata, lawatan kerja bermula di Bukit Payong, Marang bagi majlis pecah tanah KMT, sebuah projek yang sekian lama diperkatakan sejak 2009 dan akhirnya dizahir pada 2026.
“Ini lambang kesungguhan Kerajaan MADANI menterjemah aspirasi rakyat kepada tindakan nyata, berteraskan nilai ihsan dan keadilan tanpa pilih kasih.
“Selain itu memastikan akses pendidikan yang lebih saksama dan menyeluruh buat anak-anak Terengganu,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Kata beliau, dengan peruntukan awal sebanyak RM27 juta bagi tahun 2026, KMT bakal memanfaatkan kira-kira 3,000 pelajar.
Jelas beliau, institusi pendidikan itu bakal dilengkapi dengan kemudahan akademik dan prasarana moden yang kondusif.
Tegas beliau, generasi muda diingatkan untuk tidak memandang ringan nilai pendidikan, sebaliknya manfaatkan setiap peluang yang ada untuk mengubah nasib diri dan keluarga.
Untuk itu menurut beliau, anak muda diseru untuk bangkit sebagai generasi yang berilmu, berakhlak serta berdaya saing dalam mendepani cabaran masa hadapan.
“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus memperluas akses pendidikan kepada anak-anak Malaysia demi masa depan yang lebih baik untuk semua,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
