Berita

Keberanian Anwar selar tindakan serangan berterusan ke atas Iran dipuji

Iran memuji tindakan berani Malaysia yang tegas menentang serangan berterusan Amerika Syarikat (AS) dan zionis Israel terhadap negara itu terutama membabitkan orang awam.

Ucapan tersebut disampaikan Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berhubung pendirian berani dan berprinsip yang ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Valiollah Mohammadi berkata, kepimpinan Anwar merupakan petanda jelas yang menjajar kepada landasan sejarah yang betul, sekali gus akan meningkatkan kedudukan diplomatik Malaysia.

“Sejarah akan menilai kedudukan kebijaksanaan sedemikian dengan adil dan rakyat Iran tidak akan sesekali melupakan pendirian sokongan kerajaan dan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dunia perlu bersuara menentang jenayah perang AS dan Israel terhadap Iran, selain terus memberi amaran bahawa sikap berdiam diri dalam menghadapi tindakan sedemikian adalah satu perbuatan subahat.

Tegas beliau, komuniti antarabangsa tidak boleh bersikap acuh tak acuh dan berdiam diri dalam menghadapi tindakan seumpama itu kerana ia adalah satu subahat. 

Menurut beliau lagi, tindakan menyasar infrastruktur awam mesti dikutuk tanpa ragu-ragu atau mengamalkan ‘dwistandard’.

“Jika tindakan seumpama ini dibenarkan berterusan tanpa penelitian, kedaulatan mana-mana negara dan keselamatan mana-mana orang awam tidak akan terjamin. 

“Jika mereka boleh melakukan jenayah sedemikian terhadap satu negara, mereka juga boleh melakukan perkara yang sama kepada negara lain melainkan mereka dipertanggungjawabkan,” ujarnya.

Duta Iran itu turut mengutuk serangan AS dan Israel terhadap infrastruktur awam Iran, termasuk kemudahan minyak dan gas, kilang keluli, hospital, universiti, sekolah, bangunan kediaman serta jambatan.

Beliau menegaskan bahawa serangan itu bukan tindakan mempertahankan diri, sebaliknya merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan merupakan jenayah perang. -MalaysiaMADANI