Krisis tenaga global yang berlaku ketika ini memberi impak besar kepada kebanyakan negara dan Malaysia tidak terkecuali menerima tempias sama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam mendepani cabaran tersebut, Kerajaan MADANI akan terus bertindak secara proaktif berlandaskan data dan realiti semasa.
Untuk itu beliau berkata, pihak kerajaan mendapatkan pandangan pihak industri serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya setiap langkah yang diambil bersifat menyeluruh, berimbang serta berkesan.
“Saya ingin menegaskan bahawa asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Selain itu kata beliau, satu mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah dijalankan bagi meneliti secara mendalam perkembangan krisis tenaga global.
Menurut beliau, krisis tenaga global yang berlaku ketika ini dilihat semakin meruncing, seterusnya memberi kesan terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
“Hakikatnya, dunia sedang memasuki fasa yang lebih mencabar dan tidak menentu, Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima tempiasnya,” ujar beliau.
Justeru itu kata beliau, semua pihak tidak boleh alpa atau berasa terlalu selesa, sebaliknya sentiasa bersiap siaga dengan disiplin, kecekalan dan semangat kebersamaan yang tinggi.
Dalam masa sama, Perdana Menteri turut mengajak seluruh rakyat memperkukuh ekonomi domestik dengan mengutamakan barangan tempatan dan memberi sokongan kepada usahawan negara.
Ini kerana kata beliau, kekuatan dalaman merupakan benteng utama dalam mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
“Insya-Allah, setiap keputusan akan terus berpaksikan tanggungjawab dan kepentingan rakyat.
“Kerajaan akan berikhtiar memastikan kestabilan bekalan tenaga terpelihara, ekonomi terus berfungsi dengan baik serta kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
