Berita

Pastikan setiap projek rakyat siap ikut masa -PM

Hak dan keperluan rakyat terutama melibatkan pembinaan projek kemudahan asas perlu dilaksanakan dengan sempurna dan siap mengikut tempoh waktu ditetapkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihak kerajaan sentiasa menekankan keperluan untuk semua pihak untuk terus memberi tumpuan terhadap projek pembangunan kesejahteraan rakyat. 

Beliau berkata, semua pihak terlibat diminta memantau secara rapi pelaksanaan setiap projek pembangunan yang telah diluluskan.

“Hal ini penting kerana rakyat menaruh harapan besar terhadap projek-projek yang memberi impak langsung kepada kehidupan seharian mereka,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Menurut beliau, antara projek kemudahan dan kesejahteraan rakyat yang perlu diberi perhatian khusus termasuk usaha menaik taraf jalan serta kemudahan infrastruktur di kawasan pedalaman.

Tegas Perdana Menteri, tidak seharusnya wujud sebarang alasan yang menyebabkan berlakunya sesuatu projek tertangguh akibat ketidak cekapan atau terjadinya kerenah birokrasi.

Sekiranya kejadian seumpama itu berlaku, kata beliau, ia akhirnya akan memberi kesan kepada mutu kehidupan rakyat, selain mengekang potensi kemajuan dan pembangunan negeri.

“Kerajaan kekal fokus dalam memastikan setiap projek yang dirancang dilaksanakan dengan cekap, telus dan menepati jadual, agar manfaatnya dapat segera dirasai oleh rakyat,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI