Berita, Siaran Media

Pahang sasar tingkat kutipan hasil, tegas mahu banteras hasil teroka sumber haram

Kerajaan Negeri Pahang mensasarkan mahu meningkatkan kutipan hasil negeri melalui pelaksanaan penguatkuasaan yang lebih ketat, tegas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Katanya tindakan tegas akan terus dipergiat menerusi pelbagai aktiviti termasuklah Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), yang bertanggungjawab memantau serta mengambil tindakan perundangan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam sebarang aktiviti penerokaan sumber secara haram.

“Kita telah menubuhkan satu pasukan khas untuk memastikan tindakan serta-merta diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti tidak sah ini. 

Malah, kita tidak lagi sekadar mengenakan kompaun, sebaliknya pelaku akan diheret ke mahkamah.” katanya seperti dilapor RTM.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, langkah yang dikenakan berkenaan bukan mahu mengaibkan pihak-pihak tertentu sebaliknya sebagai pengajaran selain mahu menjaga hak negeri berkenaan.

“Langkah ini diambil bukan bertujuan mengaibkan mana-mana individu, tetapi sebagai pengajaran tegas bahawa hasil mahsul dan khazanah negeri tidak boleh diterokai secara haram,” katanya lagi.

Terdahulu beliau hadir menyempurnakan Program Baucar Raya ‘Moh Balik Negeri Pahang’ di Stadium Titiwangsa bersama hampir 10,000 anak Pahang di perantauan Program Baucar Raya ‘Moh Balik Negeri Pahang’ di Stadium Titiwangsa

Inisiatif yang melibatkan  peruntukan keseluruhan berjumlah RM1 juta itu disalurkan melalui aplikasi e-dompet PahangGo bagi memudahkan pembelian barangan keperluan.

Katanya penganjuran yang memasuki tahun ketiga merupakan usaha berterusan kerajaan negeri bagi meringankan beban serta membantu anak-anak Pahang di perantauan pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman. – MalaysiaMADANI