Perasmian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang berlangsung di Menara 2 Suruhanjaya Komunikasi dan multimedia (MCMC) adalah bukti komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam usaha membanteras jenayah siber yang semakin berleluasa dan kompleks pada masa kini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar ibrahim berkata, pengukuhan pengoperasian NSRC sebagai pusat respons kebangsaan akan mempercepat tindakan, memperkemas penyelarasan antara agensi serta memperkukuh perlindungan terhadap keselamatan kewangan rakyat.
“Saya turut melawat Bilik Operasi Bank Negara Malaysia dan mendengar taklimat mengenai pengoperasian NSRC, selain beramah mesra dengan para petugas yang menjadi barisan hadapan dalam usaha penting ini.
“Moga komitmen ini terus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap keupayaan Kerajaan dalam melindungi keselamatan kewangan mereka.
“Serta memastikan negara kekal tangkas dan berdaya tahan dalam mendepani ancaman jenayah siber,” katanya.
NSRC merekodkan pencapaian signifikan sepanjang 2025 dalam usaha melindungi mangsa penipuan kewangan dalam talian dengan mengendalikan 146,167 panggilan aduan dan membekukan 138,915 akaun yang terlibat.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Nasution Ismail berkata, pengoperasian pusat itu kini diperkukuh dan berfungsi sepenuhnya sebagai pusat respons kebangsaan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil terhadap kes penipuan kewangan dalam talian.
“Selain itu, NSRC turut mencatat lonjakan ketara dalam aspek pemulangan dana kepada mangsa melalui proses ‘earmarking’, iaitu daripada RM508,479 pada 2024 meningkat kepada kira-kira RM6.7 juta pada 2025,” katanya.
Saifuddin menambah, sejumlah RM34.05 juta berjaya diselamatkan daripada jatuh ke tangan sindiket.
Dalam pada itu aspek kesedaran awam perlu terus diperkukuh bagi mengelakkan orang ramai terjebak sebagai mangsa, termasuk tidak mudah terpedaya dengan tawaran lumayan atau bersikap tamak. – MalaysiaMADANI
