Berita

Tingkat pusat kokurikulum, latih aspek kepimpinan guru, pelajar

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berusaha memastikan segala keperluan dapat disediakan dengan sempurna bagi memastikan kumpulan pelajar serta guru dapat melaksanakan aktiviti kokurikulum dengan baik. 

Hasrat menyediakan keperluan dan kemudahan terbaik itu dilakukan ke atas beberapa pusat kokurikulum yang telah dikenal pasti di seluruh negara termasuk di Sabah.

Merealisasikan perkara tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Ts Dr Aminuddin Hassim telah mengadakan lawatan ke Pusat Kokurikulum Negeri Sabah.

“Bertempat di Kem Malanggang, Kiulu, Tuaran, Datuk Ts Dr Aminuddin telah meninjau fasiliti serta kemudahan yang terdapat di pusat tersebut,” kata KPM menerusi laman media rasminya.

Dalam sesi lawatan itu, Datuk KSU telah diberikan penerangan mengenai peranan penting pusat berkenaan yang telah melatih ramai guru, bakal guru serta pelajar dalam aspek kepimpinan dan semangat kerja berpasukan.

Menurut kenyataan itu, beliau juga dimaklumkan mengenai beberapa keperluan tambahan serta kerja-kerja baik pulih yang diperlukan.

Tambah kenyataan itu lagi, ia bagi memastikan Pusat Kokurikulum Negeri Sabah tersebut dapat beroperasi secara lebih optimum.

“Pusat Kokurikulum ini amat signifikan dalam usaha melahirkan guru-guru dan pelajar yang berdaya kepimpinan serta memiliki nilai kerjasama yang tinggi,” ujar kenyataan itu. -MalaysiaMADANI