Berita

Tekad segera selesai isu kewarganegaraan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius permohonan kelulusan kewarganegaraan dan komited memastikan isu tersebut diselesaikan secara adil.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak kementerian akan bertindak secara telus dan berperikemanusiaan dalam hal itu, demi memberi kepastian masa depan kepada rakyat.

“Melalui pendekatan sistematik dan gerak kerja agresif, sebanyak 52,444 keputusan telah dikeluarkan sejak Disember 2022 hingga Disember 2025.

“Ia satu pencapaian yang menyamai hampir lapan tahun prestasi terdahulu dalam tempoh hanya tiga tahun,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KDN di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, prestasi tahunan yang dicapai itu turut melebihi petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan, sekali gus membuktikan keupayaan reformasi pentadbiran yang berkesan dan berfokuskan rakyat.

Kini menurut beliau, baki hanya 3,738 permohonan dan KDN menjamin penyelesaian sepenuhnya dilaksanakan dalam tahun ini.

Jelas beliau, tindakan proaktif itu diharap tiada lagi rakyat yang terpinggir daripada hak dan kepastian status kewarganegaraan.

“Ini adalah usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memastikan keadilan sosial, kemanusiaan dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI