Berita

Projek yang lewat dan ‘sakit’ perlu disegera elak rakyat terbeban – PM

Projek yang lewat atau berstatus sakit perlu disegerakan tanpa bergantung kepada lanjutan masa kerana hanya menambah beban kepada rakyat dan kerajaan, tegas Perdana Menteri.

Perkara berkenaan dinyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah bangunan tambahan Hospital Pontian semalam.

“Teguran saya terhadap mana-mana projek infra yang lembap dan ‘sakit’ adalah berasas kerana rakyat menantikan penambahbaikan untuk dimanfaatkan mereka dan bukannya perlu menghadam seribu satu alasan.

“Projek yang lewat atau berstatus sakit perlu disegerakan tanpa bergantung kepada lanjutan masa yang hanya menambah beban kepada rakyat dan kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap pihak berkaitan lebih proaktif termasuk menambah baik kaedah pelaksanaan, memilih kontraktor yang berkeupayaan serta memperketat pemantauan dari masa ke semasa.

“Saya turut mengarahkan projek ini dimasukkan sebagai projek fast-track di bawah penyelarasan Kementerian Kesihatan bagi memastikan pembinaan berjalan lancar dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

Insya-Allah, inilah antara usaha berterusan Kerajaan dalam memperkukuh sistem kesihatan negara dan memastikan perkhidmatan perubatan lebih selesa serta berdaya saing untuk rakyat,” ujarnya.

Beliau pada masa sama turut berharap semua pegawai daerah memberi laporan berkaitan projek kecil di lokasi mereka bagi mengelak berlakunya sebarang kelewatan di peringkat pelaksanaannya.

Mengenai majlis pecah tanah bangunan tambahan Hospital Pontian semalam, Anwar berkata, pelaksanaan projek berkenaan selari dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk mempercepat pembangunan infrastruktur asas di peringkat daerah.

Selain memastikan kemudahan kesihatan dapat dinikmati masyarakat dengan lebih cepat dan cekap. – MalaysiaMADANI