Program ACE Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diteruskan dengan peluasan ke negeri Pahang dan Pulau Pinang untuk manfaat anak-anak yang sedang membuat persiapan peperiksaan berkenaan.
Perkara itu dinyatakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek selepas menerima kunjungan hormat daripada Penasihat Yayasan TZA, Tengku Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Aziz dan Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, Pengerusi Yayasan, di pejabatnya, hari ini.
Katanya dalam pertemuan berkenaan pelbagai perbincangan dilakukan termasuk menstategi supaya kekal menjadi sokongan akademik yang mampu melonjakkan prestasi pelajar yang menduduki peperiksaan SPM di negara ini.
“Selaras pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, KPM mengalu-alukan penglibatan semua pihak termasuk rakan strategik korporat dan pertubuhan bukan kerajaan untuk bekerjasama memperkasakan pendidikan negara,” katanya.
Tahun lalu, Yayasan TZA menyalurkan pembiayaan berjumlah RM300,000 kepada 10 sekolah terpilih di Selangor bagi menjayakan Program ACE SPM 2025, yang berlangsung dari Jun lalu hingga Oktober.
Peruntukan berkenaan berjaya memberi manfaat tuisyen percuma kepada lebih 450 orang calon peperiksaan SPM, selain kira-kira 4,000 calon peperiksaan turut menerima akses video pembelajaran serta kit persediaan peperiksaan.
Inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan meningkatkan prestasi akademik pelajar, malah membina sistem sokongan sosial yang kukuh serta mewujudkan ekosistem pembelajaran berterusan – MalaysiaMADANI
