Berita

Pelaksanaan agenda digital dan AI perlu digerakkan lebih pantas

Setiap kementerian dan agensi digesa mempertingkat serta mempercepatkan pelaksanaan keputusan yang dipersetujui bagi memastikan agenda digital dan kecerdasan buatan (AI) negara digerakkan dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan demi kepentingan rakyat.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil. 1/2026 di Putrajaya, semalam.

Katanya antara keutamaan yang dibincangkan ialah persiapan pelancaran Malaysia Digital 2030 (MD2030) pada April 2026 sebagai pemacu utama pelaksanaan agenda digital dan AI, selaras hasrat menjadikan Malaysia sebuah Negara AI menjelang 2030.

“Mesyuarat turut menekankan usaha memperhebat pendaftaran MyDigital ID, khususnya bagi aplikasi-aplikasi kerajaan, di samping mewajibkan integrasi sistem baharu serta penyepaduan sistem sedia ada bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap, bersepadu dan berteraskan keperluan rakyat.

“Turut menjadi agenda adalah pembentangan daripada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Digital berkaitan Government Innovation Initiative (GII) yang berpotensi memberi impak besar kepada penambahbaikan sistem kesihatan negara,” katanya.

Pada mesyuarat berkenaan beliau turut mengambil maklum input daripada Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) yang menekankan pembangunan dasar AI berasaskan bakat tempatan merangkumi pelbagai sektor, selain memastikan peluang penyertaan inklusif kepada semua peringkat umur. – MalaysiaMADANI